Bab 5: Tempat Bersandar
Pagi itu sunyi. Tiada suara keluarga, tiada pelukan ibu atau bapa. Hanya satu beg besar dan degup jantung yang menahan gugup. Saya berdiri di tepi jalan, mata memandang ke arah bangunan universiti yang bakal jadi rumah baharu.
BFF saya sempat menemani malam sebelumnya, menumpang di rumah abangnya. Esoknya, saya ke universiti sendiri. Tiada siapa yang hantar. Tiada sesi tangisan keluarga di depan pintu asrama. Hanya saya — dan beg besar itu. Saya tarik nafas dalam-dalam. Saya di sini. Untuk diri saya sendiri.
Saya introvert. Dunia baru ini buat saya kaku. Tapi saya bertemu seorang gadis Sabah — periang, ceria, menyambut saya seperti kenalan lama. Tapi dia punya ‘keluarga’ sendiri, gengnya ramai dan kuat. Saya cuba masuk, cuba menyelami dunia mereka, tapi kadangkala perbezaan itu terlalu nyata. Jadi saya bersendiri lagi.
Namun tak lama.
Saya bertemu seseorang — seorang pelajar lelaki dari bandar yang sama. Suka mengusik, suka buat saya malu depan orang, dan saya... entah kenapa, mula selesa. Dia ada kumpulan sahabatnya sendiri, tapi saya mula jadi sebahagian dari hari-harinya. Kami gaduh, kami bertekak, tapi akhirnya dia tetap ada. Dia bff lelaki pertama dan terakhir yang benar-benar faham siapa saya di balik diam saya.
Kami naik bas ekspres bersama bila cuti, belajar sama-sama bila susah, dan dia sentiasa jadi tempat saya bersandar — secara literal dan hati. Pernah satu pagi, dalam perjalanan balik ke kampus sebelum subuh, saya mengantuk sangat. Saya bisik perlahan, “Tumpang bahu jap.” Dan saya tertidur, tenang dalam ruang kecil yang hanya kami faham.
Tapi hidup di kampus bukan cuma kisah indah.
Saya ada kawan-kawan asrama, ya. Tapi bukan yang rapat. Saya disayangi... atau mungkin hanya diperhatikan terlalu banyak. Agak ramai peminat, agak ramai yang suka. Tapi itu juga bawa masalah. Ada antara mereka crush kawan-kawan asrama saya. Dan satu masa, bila semester akhir semakin hampir, mereka boikot saya. Katanya saya perampas. Kononnya saya rampas perhatian. Saya tak mampu tahan perlian demi perlian mereka, saya keluar dari hostel untuk beberapa hari semasa final exam. Saya tumpang rumah sewa kawan Sabah saya.
BFF lelaki saya pun ada gf. Pelajar dari asrama yang sama, dia baik, tp kawan2 pertahankan dia, kononnya saya cuba rampas. Tapi dia kekal. Satu-satunya yang kekal di sisi. Saya tak cuba rampas dia, tapi saya perlukan dia dalam kehidupan kampus saya yang sunyi dan diam.
Saya pernah cuba bercinta, dengan pelajar dari kursus lain. Tapi bff saya tak suka dia. Katanya dia bukan orang yang jaga saya betul-betul. Akhirnya saya putus. Dalam hati, saya tahu... mungkin sebab saya tak betul-betul suka dia pun. Saya cuma nak cuba. Saya cuma sunyi dan bosan.
Kami selalu berkongsi kisah peminat, gelak bersama. Dia tahu saya waktu ni mula suka tengok K-drama, suka lepak di library dan cinema, suka duduk diam-diam baca buku. Dan dia? Dia biar saya jadi diri saya.
Tapi rahsia terbesar… dia sebenarnya suka saya. Saya pernah pesan, “Kalau nak kawan lama dengan aku, jangan ada perasaan lebih-lebih.” Jadi dia simpan perasaan dia dalam diam. Sampai saya dah kahwin… barulah dia berani luah. Saya cuma mampu tergelak, dan dalam hati, saya hargai kejujuran dia, saya juga sebenarnya suka dia, cuma saya keliru dengan rasa cinta dan sayangkan persahabatan.
Dan di saat dunia saya hampir pulih, satu panggilan datang.
“Akak, saya adik akak. Anak ayah.”
Saya kaku. Saya tak tahu ayah ada anak lain. Saya sangka saya anak bongsu ibu dan ayah. Hati saya keliru, bimbang, marah dan sedih — semuanya bercampur. Tapi kami berjumpa. Wajahnya mirip saya. Dan dia… terlalu ikhlas.
Saya dengar kisahnya. Tentang ibu kandung yang tak mahu terima dia. Tentang keluarga angkat yang terpisah. Dan hati saya terbuka. Pelan-pelan, saya terima dia sebagai adik. Saya kenalkan dia pada kawan-kawan, dan mereka kata, “Cantik adik kau, macam kau jugak.”
Saya senyum. Dalam hati saya tahu… walau hidup tak pernah sempurna, Tuhan sentiasa beri ruang baru untuk kita mencintai dan dicintai — dalam pelbagai bentuk.
Ulasan
Catat Ulasan