Bab 3: Antara Dua Dunia
Selepas berpindah mengikut ibu, hidup saya perlahan-lahan berubah. Ibu bekerja keras, dan saya mula belajar menjadi ‘tangan kanan’ ibu dalam segala hal. Walau saya anak perempuan, tapi tugas-tugas lelaki juga saya pikul tanpa banyak soal — pasang mentol, panjat atap zink bila bocor, bayar bil di pejabat pos, urus urusan sekolah, hantar surat, semua saya buat. Saya mula belajar berdikari lebih awal dari ramai orang lain.
Saya anak tunggal hasil perkahwinan ibu dan ayah. Jadi, ketika hidup bersama ibu, saya tidak punya adik-beradik serumah. Segala tanggungjawab sebagai anak dan teman ibu, saya pikul sendiri.
Sebaik habis sekolah, saya ambil kerja sambilan sebagai juruwang di pasaraya berdekatan rumah. Di situ, saya mula kenal dunia luar — pelbagai jenis pelanggan, pelbagai kerenah. Ada yang baik, ada yang kasar, tapi saya belajar senyum dan hadap. Hidup saya waktu itu, walaupun sibuk dan serba ringkas, tetap terasa indah. Saya punya ibu yang kuat dan kasih sayangnya yang tak pernah kurang. Saya juga masih menyimpan kemas kenangan manis zaman persekolahan.
Namun, saat paling gelap dalam hidup saya datang tiba-tiba — ayah saya meninggal dunia.
Saya lambat tiba. Saya tak sempat jumpa dia. Abang saya hanya mampu tunjukkan pada saya sekeping demi sekeping — surat-surat saya, gambar-gambar saya, semuanya disimpan rapi di atas mejanya. Rupanya dia baca setiap kata saya, pandang setiap senyum saya dalam gambar. Dia rindukan saya. Dia sebut-sebut nama saya sebelum dia pergi. Tapi saya… tak sempat peluk dia buat kali terakhir.
Hati saya macam disiat-siat. Luka tu tak berdarah di luar, tapi di dalam, saya terhempas. Hampir dua bulan saya membisu. Tak mahu bercakap, tak mahu jumpa sesiapa. Saya seperti jasad bernyawa, tapi roh saya entah di mana.
Keputusan SPM hampir keluar, tapi saya tak hiraukan. Saya terlepas panggilan UPU yang pertama. BFF saya terpaksa pergi dahulu, dia masuk universiti, sedangkan saya... masih duduk diam, memeluk pilu seorang diri.
Malam-malam saya sunyi, pagi saya kosong. Tapi perlahan-lahan, dengan kasih ibu, dengan kenangan ayah, saya mula bangkit semula — perlahan, tapi pasti.
Dan ketika saya di universiti, umur saya 20 tahun, takdir menemukan saya dengan seorang adik perempuan — adik sebapa, anak ayah bersama perkahwinan yang lain. Kami tak pernah kenal sebelumnya. Tapi sejak bertemu, kami terus rapat. Dialah satu-satunya adik-beradik yang benar-benar dekat di hati saya.
Ulasan
Catat Ulasan