Bab 4: Surat yang Sempat Dibaca
Selepas berpindah bersama ibu, hidup saya berubah perlahan-lahan. Rumah kecil kami di kampung ibu bukan hanya jadi tempat berteduh, tapi juga tempat saya belajar erti berdikari. Sejak kecil, saya sudah terbiasa melakukan kerja-kerja yang biasanya dilakukan oleh lelaki. Memasang mentol, membetulkan atap bocor, atau pergi membayar bil-bil di pejabat pos — semuanya saya buat tanpa banyak soal. Ibu bekerja keras, jadi saya ambil alih apa yang mampu untuk ringankan bebannya.
Saya juga uruskan hal-hal sekolah sendiri — isi borang, beli buku, ambil keputusan peperiksaan. Semuanya saya biasakan sendiri. Saya jadi matang lebih awal, walaupun dalam hati saya, masih ada ruang kosong yang rindukan ayah, yang tinggal jauh.
Selesai SPM, saya tak terus sambung belajar. Saya ambil kerja sambilan sebagai juruwang di sebuah pasaraya berhampiran. Masa tu, saya rasa dunia ini luas. Saya berkenalan dengan ramai orang, belajar senyum walau penat, belajar sabar walau dipersalahkan pelanggan. Hidup saya tenang waktu tu. Walaupun sederhana, banyak kenangan manis saya semai.
Namun, bahagia itu tak lama. Saat keputusan SPM hampir diumumkan, satu panggilan yang tak pernah saya sedia terima datang — ayah saya meninggal dunia.
Saya lambat sampai. Tak sempat tengok wajah terakhirnya. Hati saya seolah-olah terhenti. Bila abang saya tunjukkan surat-surat saya dan gambar yang ayah simpan rapi di atas mejanya, hati saya runtuh. Dia baca surat saya, dia rindu saya… dia sebut nama saya berkali-kali sebelum pergi, tapi saya tak sempat ada di sisi.
Saya hilang suara. Hampir dua bulan saya tak bercakap. Saya tak makan dengan betul, tak keluar bilik, tak hiraukan sesiapa. Saya terlepas peluang UPU pertama. Kawan saya, yang sepatutnya masuk universiti bersama-sama, terpaksa pergi dahulu. Saya tak mampu dipujuk. Saya rebah dalam duka.
Hinggalah satu hari, ibu berdiri di depan pintu bilik saya. Dengan suara tegas dan mata yang sayu, dia bertanya, “Kau nak jadi apa kalau duduk macam ni saja?”
Soalan itu seperti tamparan lembut, tapi menggegar jiwa saya. Hari itu, saya bangun. Saya mohon semula ke IPT, walau lambat. Saya mula kerja sebagai kerani sementara tunggu jawapan. Dan akhirnya, dengan semangat yang saya kumpul satu-satu, saya melangkah masuk ke universiti — setahun lambat dari orang lain, tapi dengan hati yang sudah belajar kehilangan dan kekuatan.
Ulasan
Catat Ulasan